Secara
fitrah, semua wanita di dunia mencari lelaki sebagai pelindung.
Justeru, wanita amat tertarik kepada lelaki yang dapat menjamin
keselamatan mereka di dunia dan di akhirat.
Wanita
akan merasa selamat apabila bersama dengan lelaki yang mempunyai
kemampuan dari segi kewangan. Ada beberapa golongan lelaki yang selalu
mempamerkan kekayaan untuk menonjolkan faktor ini bagi menarik perhatian
golongan wanita. Itu adalah perkara normal. Yang tidak normalnya ialah
apabila "terlalu" mempamerkan faktor ini.
Juga
terdapat segolongan lelaki yang berbohong dengan kemampuannya. "I ada
sebuah firma," "I akan belikan U sebuah kereta," "I dah ada rumah dua
tingkat untuk U," "I kenal datok ini dan datok itu" dan sebagainya.
Padahal, perkara-perkara yang disebut tidak benar.
Untuk
mengelakkan dari tertipu, seorang wanita perlukan mencari kesederhanaan
di dalam perhubungan. Jangan jadikan kemampuan seorang lelaki sebagai
agenda utama. Rezeki dan kekayaan dapat ditahan oleh tuhan pada
bila-bila masa. Firman Allah di dalam surah Al-Mulk ayat 21, "Atau siapa
dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan
rezekiNya?"
Sebaliknya
cari seorang pasangan yang sederhana dan rajin. Orang yang rajin
biasanya dapat dikenali dengan kekemasan diri mereka. Kereta kemas,
rumah kemas, meja kemas, pakaian kemas. Ini kerana mereka sentiasa
menggunakan sepenuh masa mereka untuk melakukan sesuatu. Biasanya orang
rajin akan mendapat ganjaran baik dari kerajinannya. Itu adalah memadai
sebagai jaminan keselamatan kewangan.
Wanita
juga akan rasa selamat apabila bersama lelaki yang mempunyai
pengetahuan di dalam bidang keagamaan. Di akhir zaman ini, ramai yang
tidak tahu membaca Al-Quran, ramai yang tidak khatam fardhu ain, ramai
yang tidak benar-benar menghayati Islam, pendek kata ramai yang
dahagakan agama. Apabila berbicara bab nikah dan kahwin, semuanya akan
memberi fokus kepada lelaki yang beragama.
Golongan-golongan
lelaki yang mampu memberikan nasihat-nasihat baik, memberi bimbingan
dan sebagainya akan menjadi perhatian ramai wanita. Bukan sahaja di
blog, tetapi di mana-mana di bumi ini. Ini akhir zaman!
Masalah
wujud apabila terdapat segolongan lelaki menggunakan pendekatan ini
untuk melakukan maksiat. Pada peringkat permulaan semuanya berbentuk
nasihat dan ucapan salam. Pada pertengahannya, semua berbau lucah. Pada
penghujungnya, semua akan berakhir dengan perkara-perkara terlarang.
Untuk
mengelakkan diri diperdaya oleh lelaki seperti ini, seorang wanita
perlu mendalami ilmu agama. Anda mungkin berasa takjub apabila melihat
orang lain menceritakan tetang sirah-sirah nabi atau hadith-hadith yang
tidak pernah anda dengari. Tetapi anda tidak akan berasa takjub
sekiranya anda telah lebih awal mengetahui semua itu.
Tidak
susah. Hanya dengan mengkaji dua sumber asal Islam, iaitu Al-Quran dan
As-Sunnah. Terjemahan Al-Quran bernilai tidak lebih dari RM20 boleh di
dapati dari mana-mana kedai buku agama atau pasar malam. Hadith-hadih
mungkin terlalu banyak untuk dikaji, tetapi memadai dengan mendapatkan
senaskah salinan Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi.
Dengan
cara ini pengetahuan agama seseorang akan meningkat dalam masa
terdekat. Bertanya dengan orang lebih pengetahuan adalah amat perlu.
Perbanyakkan zikir agar tidak terlalai adalah suatu kemestian.
Perbanyakkan solat-solat sunat untuk mencipta rekod diri. Lalu apabila
muncul seorang lelaki yang menceritakan perihal agama, anda akan lebih
bersedia dan tidak mudah terpedaya.
Wanita
juga mudah tertarik dengan lelaki yang dapat memberi keselamatan
dirinya. "Macho" dan "carring." Ini adalah fitrah. Wanita akan berasa
lebih selamat apabila lelaki sebegini berada di sisi mereka.
Bayangkan
sebuah lorong yang telah diketahui ada seekor anjing garang. Anda ingin
melaluinya tetapi anda takut. Tiba-tiba muncul seorang lelaki dan
berkata, "tak per cik, jangan takut, kita jalan sama-sama." Lalu anda
berjalan dengan perasaan selamat. Anda mungkin jatuh hati dengannya. Ini
adalah fitrah.
Bayangkan
pula anda sedang berjalan di lorong lain. Tiba-tiba datang seorang
lelaki berkata, "eh cik, kat sini ada anjing garang, dua hari lalu dia
dah gigit orang. Entah-entah dia nanti gigit cik. Tapi kalau cik jalan
dengan saya, cik akan selamat." Ini adalah contoh penipuan. Lelaki
tersebut tidak ikhlas melindungi anda.
Anda
mungkin faham dengan contoh di atas dan tahu mengambil tindakkan yang
sewajarnya. Tetapi bayangkan apabila anda menerima satu Pesanan Peribadi
dari seorang lelaki di blog dengan berbunyi, "Hati-hati dik, di blog ni
banyak penipu. Ada orang pernah kena rogol oleh lelaki di sini." Secara
automatik anda akan mempunyai sedikit rasa percaya kepada lelaki
berkenaan. Padahal sekiranya dia sekadar menghantar pesanan biasa, belum
tentu dia akan mendapat perhatian anda.
Untuk
mengelakkan perkara sebegini, seorang perlu belajar bergantung kepada
tuhan setiap masa, lalu bertawakal. Bayangkan situasi di lorong tadi,
apabila seorang lelaki muncul dan menceritakan tentang bahaya berjalan
seorang diri. Sekiranya anda mempunyai keyakinan untuk bergantung kepada
tuhan, anda boleh menjawab, "terima kasih encik, tapi ayah saya pesan,
jika baca ayatul kursi, InsyaAllah akan dijauhi segala binatang buas."
Lalu anda akan lebih selamat. Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat
51, "Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami
sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah
Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka
kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".
Wallahu'alam.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan