Isnin, 22 April 2013

Ke manakah hilangnya diriku?

Thursday, January 03, 2008



Sahabat-sahabat sekalian,
Sekian lama tidak mengirimkan khabar berita adakah kalian sekarang masih di atas barisan ataupun sudah gugur sebelum berjuang. Sekiranya masih di atas barisan, teruskanlah usaha anda. Sekiranya tidak, binalah kekuatan semula semoga tidak gugur untuk kali yang kedua. Mintalah kekuatan kepada 'Pemilik Segala Kekuatan' semoga ia akan terus kekal untuk disambung kepada generasi yang seterusnya.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah,
Majulah kehadapan sebagaimana majunya angkatan tentera yang tidak menghiraukan ranjau, onak dan duri yang menikam. Hujanan peluru, goncangnya bumi dek letupan bom. Sampai bilakah umat Islam akan diancam begini? Apakah peranan kita sebagai saudara? Tidak malukah kita dengan Allah,yang telah memberi pelbagai nikmat tanpa kita syukuri? Pernahkah kita terfikir sekiranya kita ditempat mereka?

Rakan seperjuanganku sekalian,
Hadirnya tulisan ini bukanlah untuk bermegah-megah dengan bakat yang ada, akan tetapi untuk menyeru kalian bagi melibatkan diri di dalam rencana ini. Firman Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka." Sebenarnya di dalam diri kalian terdapat potensi yang teramat besar, yang telah dianugerahkan Allah sama ada untuk menumbangkan lawan mahupun untuk menarik teman.

Teman-temanku sekalian,
Kebelakangan ini kita sering dengar gejala yang mencemarkan maruah agama kita. Masihkah ada masa lagi untuk kita tersenyum? Sekarang ini sudah ramai yang lemas (tidak tahu pengertian agama) sudah ramai juga yang sesat (murtad). Masihkah ada lagi waktu untuk kita belajar berenang untuk menyelamatkan orang yang lemas? Adakah lagi masa untuk kita belajar membawa helikopter untuk mencari orang yang sesat? Lihatlah sahabatku, ilmu Allah terlalu luas. Andainya kita tidak mampu untuk menyelamatkan orang yang lemas, sekuragny-kurangnya kita meminta pertolongan dari orang yang berkebolehan supaya orang yang lemas tidak mati kelemasan. Begitulah juga orang yang sesat, sebelum ia mati dimakan binatang buas. Berusahalah kita untuk menyelamatkan mereka.

Rakan-rakan seperjuanganku sakalian,
Seperti yang kita telah sedia tahu, Islam pernah menguasai dua per tiga dunia suatu masa dahulu dan akan menguasai dunia suatu masa yang akan datang. Kerana janji Allah swt dalam surah Al-Anbiyaa' ayat 105 yang bermaksud : Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisan pada Luh Mahfuz bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh. Islam telah menbuktikan akan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah adalah kunci utama kemenangan ini. Walaupun kita telah tahu bahawa kuasa dunia ini akan dipegang oleh orang Islam, wajarkah untuk kita berpeluk tubuh untuk menjayakannya? Sahabatku, seandainya zaman yang dijanjikan itu bukanlah di zaman kita ini, akan tetapi cukuplah kita sekadar perintis untuk menobatkannya kerana Allah tidak akan sesekali mensia-siakan pengorbanan hamba-hambaNya.

Saudaraku sekalian,
Tulisan ini bukanlah untuk anda semua sebenarnya, akan tetapi adalah untuk diri yang kerdil lagi hina di pandangan Allah ini. Saya menulis ini adalah untuk menguatkan keyakinan diri supaya tidak gugur dari jalan ini. Andaikata saya gugur sekali lagi peringatkanlah saya semula kerana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud : Dari Abi Ruqayyah Tamim bin Ausin Al-Dari ra, bahawasanya Nabi saw bersabda : Agama itu nasihat. Kami berkata : Bagi siapa? Ia bersabda : Bagi Allah dan bagi KitabNya dan bagi RasulNya dan Imam-imam kaum Muslimin dan bagi orang ramai mereka. Di sini kita dapati tidak ada pengertian agama kalau tidak ada nasihat dan tidak ada kesedaran orang yang beragama kalau tidak ada peringatan dan nasihat-nasihat agama. Nasihat juga adalah sesuatu yang berulang-ulang. Bulatkanlah tekad, rapatkanlah barisan, tanamkanlah azam dalam mencari redha Allah. Pilihlah antara dua sama ada mati sebagai syuhadah ataupun menang di dalam perjuangan.


Posted at 10:08 am by mann

Tiada ulasan :

Catat Ulasan