Monday, February 25, 2008
BAGAIMANA BERCINTA DALAM ISLAM
Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak
mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin
disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia
akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan
oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan
dengan cara yang terbaik. Selain itu,
Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju
ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya. Rasulullah pernah
mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini
merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin
cinta-menyintai ini.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan
pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah
menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan
Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada
28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu
agak menarik : Jodoh.
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang
cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
“Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan
seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu
berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk
meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang
empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta,
berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung
tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila
ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan
mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa
mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat
kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk
mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua
pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan
tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram
perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh
Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak
lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi
memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika
kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan
lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri.
Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya
untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar
berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka
tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam
seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan
itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka
pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah
pihak.
Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan,
tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak
bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari. Sebenarnya ini
merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu
kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimana Islam
mengajarkan wanita yang berkeinginan bernikah, menyuarakan keinginanya? Mari
kita kaji sirah. Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi
Muhammad SAW dan Khadijah dimulakan dengan Khadijah menzahirkan keinginannya?
Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad, beliau
merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk
dijadikan suaminya melainkan Nabi Muhammad. Oleh itu, Khadijah menyuarakan
keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Nabi Muhammad untuk dirinya.
Sesudah pihak Nabi Muhammad bersetuju, barulah keluarga Nabi yang menghantar
rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah. Jadi, tiada salahnya
wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan
dan kebersediaan untuk menjalankan sunnah baginda Rasulullah SAW? Cuma caranya
biarlah sesuai dengan masyarakat kita. Jika kita
seseorang perempuan itu sudah mempunyai calon suami yang baik dan soleh,
suarakan sahaja kepada ibu bapa, agar dapat menghubungi pihak keluarga si
lelaki itu. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau
kedua-dua pihak setuju, maka pihak lelaki boleh masuk meminang.
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya.
Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya
maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia
menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh manusia serta diredhai
oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan.
Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan
atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita
itu.
(Tinta: Man)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan