Wednesday, January 16, 2008
Buat ibu yang tercinta,
Tuhan, bagaimana mungkin aku dapat balasi jasa seorang ibu yang tidak pernah kenal erti penat dan jemu mendidik dan mengasuh seterusnya memimpin anak-anaknya kepada Tuhan, bagi memastikan keselamatan dan kebahagiaan bukan sekadar di dunia tapi hingga ke akhirat yang kekal abadi. Bonda,
Kasih sayangmu bukan sekadar memberi makan, minum, belaian kasihmu bukan sekadar memastikan kesejahteraan hidup duniawi, tapi kasih sayangmu terbukti bila engkau membawaku berkenalan dengan cinta yang hakiki, Yang Maha Agung iaitu Allah ta’ala. Itulah dia belaian kasihmu, bukti kasih sayangmu yang sejati. Bonda,
Di waktu kegelapan, kau bagaikan cahaya penunjuk jalan kepada Tuhan. Engkau sentiasa tidak jemu memberi kata-kata semangat untuk ku meneruskan perjuangan ini. Menatap wajahmu terasa tenang di hati. Engkaulah menjadi tempat rujuk di waktu kekusutan, kau pimpin dan didik tanpa jemu, menjadi guru sepanjang zaman kepada anak-anakmu. Itulah simbol belaian kasihmu yang sejati. Bonda,
Di waktu anakmu terlantar sakit, kau menjadi sumber kekuatan, mutiara kata-katamu menjadi perangsang dan membakar semangat juang untuk pulih semula. Masih teringat kata-katamu: “Sakit adalah penghapusan dosa, ujian Tuhan untuk menguji hamba-hambanya sama ada redha dengan ketentuanNya ataupun tidak. Sakit juga adalah lambang kasih sayang Tuhan kepada hambaNya”. Itulah sebenarnya ubat dan penawar paling berharga dan bermakna buat anakmu lantaran memberi nafas baru kepadaku untuk bangun semula. Bonda,
Teguran dan hukumanmu penuh hikmah dan didikan. Biarlah sakit sedikit di dunia agar tidak sakit selamanya di akhirat. Kau menghukum bukan dengan nafsu tapi demi kasih kepada anakmu yang sentiasa lalai dan alpa. Teguran itu sebenarnya sebagai penyelamat daripada terjerumus ke neraka kelak. Engkau tidakkan lena tidur selagi anak-anakmu telah kau pastikan tidak terjerumus dengan dosa. Engkau tidak bimbang anakmu tidak makan, tapi jangan sampai tidak sembahyang. Bonda,
Kau sesungguhnya menjadi tonggak kekuatan dan sumber inspirasi anak-anakmu. Walaupun usiamu telah mengjangkau zaman namun kulihat kegigihanmu memperjuangkan Tuhan di akhir zaman tidak pernah kendur, malah makin laju dan deras. Rehat dan tidur bagaikan tiada dalam kamus hidupmu. Katamu itulah bukti kecintaan seorang hamba kepada Tuhannya. Melihat kegigihanmu, kuteringat srikandi Islam di zaman dahulu. Rupanya semangat Aisyah mengalir dalam darahmu, kegigihan Khadijah menular kejiwamu, ketaqwaan Fatimah meresap ke hatimu. Kaulah lambang ibu, isteri dan srikandi di akhir zaman. Bonda,
Rupa-rupanya tangisan di malam hari bukan kerana risaukan masalah duniamu, tapi airmata yang berguguran itu adalah menangisi dosa dan semoga ia menjadi penebus api neraka. Dan itulah yang kau ajarkan kepadaku yang jahil ini. Begitu berharga nilaian didikanmu padaku, mengajar erti takut dan cinta pada Tuhan. Tuhan,
Barulah kini aku mengerti, apakah dia ibu yang sejati. Kasih sayangnya membawa anak-anaknya kepada Tuhan. Dicelah-celah belaian mesranya, dia membisikkan kata-kata cinta kepada Tuhan. Hembusan nafasnya memberi kekuatan jiwa perjuangan agar bangun memperjuangkan Tuhan dan agamanya. Tegurannya penuh hikmah lantaran cemas anak-anaknya terlibat dengan dosa dan dimurkai Tuhan. Pengorbanan paling besar seorang ibu bukanlah apabila anak-anaknya berjaya ke menara gading tapi ia lebih penting dari itu ialah memastikan anak-anaknya berjaya menempah sijil untuk mendapat redha dan kasih sayang Tuhan. Itulah dia sebesar-besar pengorbanan lambang kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Moga-moga Allah membalasi jasamu dengan sebaik-baik balasan dan mudah-mudahan aku mampu menyalin semangat juangmu yang tidak kenal jemu memperjuangkan Tuhan di akhir zaman. Matamu tidak akan pejam rapat selagi manusia tidak menjadikan Tuhan idolanya. Sungguh mulia perjuanganmu.
Mudah-mudahan darah srikandi agung yang mengalir dalam dirimu akan meresap jua ke tubuhku agar aku dapat meneruskan perjuanganmu. Kaulah lambang ibu dunia dan akhirat. Kaulah simbol cinta sejati. Kaulah lambang kasih yang hakiki dan kaulah jua lambang srikandi suci. Sungguh…kau jualah ibuku, guruku, pemimpinku, sahabatku dan sumber kekuatan jiwaku. Terima kasih yang tidak terhingga wahai ibu…..
Posted at 10:08 am by mann
P/s: 2 mr hubby, bila on laptop n buka our blog.... i want 2 say.... tq 4 everything :) ... moga tidurmu lena ye 22/04/2013... 12.21 am
Tiada ulasan :
Catat Ulasan