Thursday, February 21, 2008
NAK BER’COUPLE’ BOLEH TAK?
Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati
dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata
makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih
lagi di kalangan muda-mudi sekarang.
Apa Itu Ber’couple’?
Ber’couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan
oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian
turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula
berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ada yang
berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan.
Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai,
mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber’couple’.
Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya.
Kalau di kelas, buat ‘study group’ ataupun ‘group discussion’. Bagi yang
kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan
dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan
dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada
saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.
Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini, hidup
mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak
basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’
dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan
tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada
pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup
bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar
bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang
boleh dilihat daripada pasangan yang ber’couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan
hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan
perlayaran di lautan percintaan masing-masing.
Mengapa Ber’couple’ Haram?
Ya, mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah
timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber’couple’, sudah tentu
perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan
bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.
Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah
merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu
Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah
yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Nabi
Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan,
lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber’couple’? Memang
tidak dinafikan, dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah
Yasin(36) ayat 36 : “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan
pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari
diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.”
Dan juga firman-Nya dalam Surah
Al-Hujrat(49) ayat 13 : “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu
dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang
paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di
antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh
mengadakan hubungan percintaan dan berkasih-kasihan antara lelaki dan perempuan
yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang
hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah dalam Surah
An-Nur (24) ayat 30 : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang
demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang mereka perbuat”.
Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga
pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah
memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini
bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah
berfirman dalam Surah An-Nur (24) ayat 31 : “Katakanlah kepada wanita yang
beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara
kemaluannya,...”
Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan
matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar
tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas
Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling
berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan
hawa nafsu.
Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam
Surah Al-Israa’ (17) ayat 32 : “Dan janganlah kamu mendekati zina;
sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang
buruk.”
Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur
dengan ayat ini akan menjawab, “Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je”,
“Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi.
Para pembaca, sila teliti firman Allah tadi. Dalam ayat ini, Allah melarang
kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan
hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini
menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin
ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh,
jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah
dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan
menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah
menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.
Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis
rasul kita, Nabi Muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda Rasulullah telah
memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W.
bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam
mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang.
Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan
faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”*
Hadis kedua ;
Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya’ “Nasib anak Adam
mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua
mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya
berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin
dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”**
(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu
Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281.
**Sahih Muslim, hadis ke 2282)
Daripada dua hadis ini, jelas Rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian
zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja, menatapi wajahnya, dan
sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan
kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia
tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati
kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan
bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling
bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantinkannya,
ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap
berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak
mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan,
percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan
sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah
HARAM.
Apa Yang Patut Dilakukan?
Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali
menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu
perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh
terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah
terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah.
Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai
Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan
terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya
satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.
Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis
hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri
nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka
boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan
remaja-remaja kini.
Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak
mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia,
dia tetap menginginkan seseorang yang baik sebagai teman hidupnya. Firman Allah
dalam Surah An-Nuur (24) ayat 26 : “Wanita-wanita yang keji adalah untuk
laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang
keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan
laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”.
Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan
perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik,
dengan syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta meilih jalan yang baik
serta diredhai-Nya. Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia
serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak
berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita
menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun
kita rasakan cukup baik. Tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang
membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu. Firman Allah dalam
Surah Al-‘ankabut (29), ayat 38 : “Dan syaitan menjadikan mereka memandang
baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah),
sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.”
Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tdak dibenarkan bergaul
terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh
mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati
tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang
benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam
kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang
mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda
tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling
meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk
dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.
Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi
seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan
menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan
difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada
zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita
hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya. Firman Allah dalam
Surah Al-A’raf (7) ayat 201 : “Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan,
maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.”
Para pembaca adalah diingatkan, semua hujah-hujah yang telah diberikan
adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika
kita menolaknya, sebenarnya kita menolak perintah Allah dan Rasul.
Na’uzubillah.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal (8) ayat 20-22 : “Hai orang-orang
yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling
daripada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),(20)
dan janganlah kamu menjadi sebagai orang-orang (munafik) yang berkata: “Kami
mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.(21) Sesungguhnya
makhluk bergerak yang bernyawa yang
paling buruk pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli
(tidak mendengar dan tidak memahami kebenaran) iaitu orang-orang yang tidak
mengerti.(22).
Orang yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tidak mahu
menuruti perintah-perintah Allah. Janganlah kita tergolong dalam golongan ini.
Balasan bagi golongan ini ialah neraka jahannam seperti firman Allah dalam
Surah Aj-Jaatsiyah (45) ayat 7-11 : “Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap
orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa,(7) dia mendengar
ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri
seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri khabar gembiralah dia dengan azab
yang pedih.(8) Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang
ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang
memperoleh azab yang menghinakan.(9) Di hadapan mereka neraka
Jahanam dan tidak akan berguna bagi mereka Sedikit pun apa yang telah mereka
kerjakan, dan tidak pula berguna apa yang mereka jadikan sebagai
sembahan-sembahan (mereka) dari selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.(10)
Ini (Al-Qur'an) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat
Tuhannya bagi mereka azab iaitu siksaan yang sangat pedih.(11)”
Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul, bukan hanya ambil Islam pada
perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak
sesuai dengan kehendak kita. Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’(4) ayat 150-151
: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan
bermaksud memperbedakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya,
dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir
terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu)
mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir)(150), merekalah orang-orang yang
kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu
siksaan yang menghinakan(151).
Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara
maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih
ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga
hati kita tertutup untuk menerima kebenaran, Surah Aj-Jaatsiah (45) ayat 23 : “Maka
pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya,
dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci
mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka
siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat).
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”
Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah,
tetapi ia masih wajib kita tinggalkan. Ingatlah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah
(2) ayat 216 : Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Tinta: Man)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan