Ahad, 21 April 2013

Pemuda Kampung Yang Kolot.

Bilik-bilik asrama di kolej kediaman pelajar sudah banyak kelihatan kosong. Sudah ramai antara mereka pulang ke kampung sempena cuti semester. Entah kenapa tiba-tiba hatiku menjadi sayu melihat keadaan sedemikian. Mungkin inilah saat perpisahan kami setelah lebih 3 tahun melanjutkan pelajaran di sini. Ini bermakna, sudah tamat pengajianku sebagai seorang mahasiswa. Seorang demi seorang antara kami meminta diri. Kini tinggallah aku dan CW sahaja di kolej tersebut. Akhirnya dia juga terpaksa pergi kerana menerima panggilan temuduga di Melaka. Tinggallah aku keseorangan di sini. Inilah perpisahan yang amat menyayat hatiku.

Aku tidak tahu ke mana harus kubawa diri ini. Aku sudah ada pekerjaan tetapi tidak ada tempat tinggal. Perlukah aku berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman seperti sahabat-sahabat yang lain? Tidak, aku perlu ikhtiarkan dulu. Akhirnya aku menemui jalan keluar. Beberapa orang kawan lulusan dari universiti terkemuka di Johor telah mengajakku tinggal bersamanya berhampiran dengan tempat kerjaku. Sekarang genap 10 orang menghuni rumah tersebut. Begitu hampir sehingga aku hanya mengambil masa kurang dari 10 minit berjalan kaki ke tempat kerja.

Aku begitu rajin bekerja sehingga tidak mengetahui aktiviti kawan serumahku ketika ketiadaanku di rumah. Ini kerana aku keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam setiap hari. Aku hanya gunakan rumah itu untuk tidur sahaja. Kadang-kadang selepas subuh aku mendendangkan ayat-ayat cinta dua tiga ayat sebelum bersiap untuk ke tempat kerja. Aku tetap melakukan aktiviti yang sama walaupun hari cuti. Keluar pagi dan balik malam. Tiba-tiba sahabat lamaku yang sudah sekian lama menyepi menelefonku mengajak aku bekerja bersamanya di Pulau Pinang. Aku mengambil cuti dua hari untuk pergi temuduga di sana. Aku tidak memberitahu rakan serumahku akan katiadaanku selama dua hari tersebut. Pada hari kedua aku di sana, aku menerima panggilan telefon dari rakan serumahku yang agak risau akan ketiadaanku selama dua hari tanpa khabar berita. Setelah sampai ke rumah semula, aku meminta maaf kepada ahli rumah kerana tidak memberitahu urusanku. Sampai ke saat ini, aku masih tidak dapat menghidu aktiviti mereka.

Keputusan temuduga menyebabkan aku hampa kerana tidak dapat menyempurnakan hajat sahabat lamaku untuk tinggal bersamanya di pulau tersebut. Aku masih meneruskan pekerjaan lamaku di ibu kota. Tanpa kuduga CW menghantar mesej kepadaku menyuruh aku datang temuduga di tempat kerjanya di Melaka. Oleh kerana agak dekat juga, aku hanya mengambil cuti selama sehari sahaja untuk menghadiri temuduga tersebut. Malangnya keputusan temuduga tersebut juga gagal.

Aku masih meneruskan pekerjaan lama di tempat biasa. Aktiviti harianku masih juga tidak berubah, keluar pagi dan balik malam. Hari ini hari cuti, masih sama aktivitiku. Pagi lagi aku keluar. Bila tengahari baruku sedar aku terlupa membawa jam tangan kerana kebiasaannya aku hanya meletakkan jam tersebut di kocek sebelah kanan seluarku. Sesampainya di rumah, aku terdengar suara seorang wanita. Aku tidak segera masuk, malah cuba menghayati perbualan mereka yang tidak berapa jelas. Aku cuba bersangka baik. Sangkaan burukku, kubuang jauh-jauh. "Mungkin TV kot", hati kecilku berbisik.

Daun pintu yang tidak berkunci kutolak perlahan. Terpandanglah aku akan sepatu seorang wanita. Aku terkejut. Daun pintu tidak kutolak lagi. Mereka masih tidak menyedari kehadiranku. Aku menolak lagi untuk masuk ke dalam. Mereka terperanjat melihat kelibatku. Salah seorang dari mereka bertanya, "Kau tak kerja ke hari ni?". Tiada sepatah kata pun keluar dari bibirku. Hatiku penuh kebencian. Niat asalku, kumatikan. Aku keluar. Pintu kututup dengan kuat. Hatiku pilu. Malam itu aku pulang agak lewat. Lebih kurang pukul satu pagi aku masuk ke rumah. Mereka masih tidak tidur lagi. Perempuan tadi mungkin sudah pulang. Aku mencapai tuala dan mandi. Dalam bilik air, aku bermuhasabah diri. Selesai solat sunat, aku mendendangkan ayat-ayat cinta sebelum tidur. Aku menambah aktiviti ini untuk hari berikutnya.

Di tempat kerja, aku bertanya kawan-kawan tentang bilik sewa atau rumah kongsi. Ramai yang menawarkanku tinggal bersamanya. Namun mereka juga agak pelik dengan sikapku yang tergesa-gesa. Aku menceritakan segalanya. Selepas itu, mereka tidak setuju dengan tindakanku. Malah menarik balik tawaran tersebut. Kini barulah kutahu, rupanya aktiviti ini bukan sahaja berlaku di rumahku. Malah di rumah-rumah bujanag lain.

Tiada siapa yang simpati dengan masalahku. KepadaNya sahaja aku mengadu. Masalahku sampai ke pengetahuan seorang sahabat. Seorang wanita. Dia banyak memberi dorongan kepadaku untuk meneruskan perjuangan. Aku kuat kembali. Rakan serumahku tidak lagi merahsiakan aktiviti mereka. Malah terang-terangan mereka membawa pulang wanita tiap-tiap malam. Rumahku sekarang penuh dengan manusia yang berdosa. Bilik-bilik sudah penuh. Ruang tamu pula jadi bilik. Mereka hanya menggantungkan kain-kain cadar sebagai pemisah. Alat-alat pencegahan kehamilan bergelimpangan. Jijik benar aku melihat. Pagi itu aku ke dapur untuk mengambil segelas air, ada seorang wanita menyediakan sarapan. Dia mengajak aku bersarapan bersama. Aku tidak mengendahkan pelawaan tersebut. Aku keluar rumah. Dalam perjalanan ke tempat kerja, ada sebuah kereta Myvi putih berhenti di hadapanku. Seorang wanita di dalamnya. Cermin diturunkan menampakkan wajahnya. Aku berpaling. Dia bertanya akan kawan serumahku. Aku hanya mengangkat bahu dan terus beredar.

Tidak lama lagi sahabat yang selalu membantuku akan menyambut hari lahir yang ke-22 tahun. Aku tidak tahu hadiah apakah yang selayaknya untuk dia. Mungkin sesuatu yang lebih istimewa. Aku mencari ke sana ke mari, masih tidak kutemui. Akhirnya aku membeli himpunan ayat-ayat cinta yang hanya setebal 1.5cm. aku tidak menghadiahkannya dengan apa yang baru kubeli. Tapi, aku membungkus sebuah hinpunan ayat-ayat cinta yang setebal buku teks pelajar sekolah rendah. Hadiah ini lebih bermakna kerana ia telah sekian lama bersamaku untuk menjaga imanku. Sekarang aku serahkannya kepada seseorang agar ia juga akan menjaga iman orang itu. Aku membungkus begitu cantik. Setelah kuberi, pada malam tersebut aku mendapat mesej darinya dengan ucapan 'Terima kasih'. Aku harap dia akan menjaga dan memanfaatkan hadiah tersebut sebagaimana aku sebelum ini.

Imanku yang hanya senipis kulit bawang seringkali diduga. Dahulunya hanya rakan serumahku sahaja yang menikmati sisa-sisa seorang wanita, kini aku pula dipelawa. Aku menolak dengan keras. Aku ke bilik air, mandi dan muhasabah diri. Selesai solat, aku mendendangkan ayat-ayat cinta agar imanku terjaga. Kali ini alunanku agak kuat agar mereka semua tidak dibelenggu syaitan. Niat suciku mendapat tentangan. Salah seorang datang kepadaku. Dia memberi amaran. Pintu bilikku ditarik mengejuk.

Aku masih tidak berputus asa. Imanku perlu dijaga. Aku sudah tidak mampu bertahan. Apakah yang harus kulakukan? Aku buntu. Ya Allah, peliharalah imanku. Janganlah Kau biarkan aku hanyut. Jauhkanlah aku dari azab neraka. Telefon bimbitku berdering. Penggilah dari seorang wanita. Dialah ibuku. Dia bertanyakan khabarku kerana sudah lama tidak pulang. Berita pun tidak kukirimkan. Dia memberitahuku satu berita gembira. Aku tertanya-tanya sendiri, apakah berita itu? Apakah dia membenarkan aku untuk bernikah pada usia muda? Ini kerana setiap kali aku pulang atau menelefon, aku selalu memohon untuk bernikah. Mungkin pada fikiranku nikah adalah jalan penyelesaian terbaik untukku pada masa aku sedang tertekan seperti yang kualami sekarang. Lagipun sudah ramai kawan-kawan sekolahku yang sebaya denganku sudah berumahtangga. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Malah ada yang lebih muda dariku sudah mempunyai anak. Mungkin kerana aku masih belajar. Maka ibu tidak membenarkan lagi. Bermacam-macam bermain di kotak fikiranku. Sangkaanku ternyata meleset sekali. Ibuku memberitahuku bahawa dia akan datang ke rumahku bersama ayah untuk menjengukku. Aku melompat keriangan. Jalan buntuku kini menemui penyelesaian.

Aku memberitahu majikanku akan berita gembira itu. Majikanku tersenyum. Dia menyuruhku mengambil cuti beberapa hariuntuk membawa keluargaku bersiar-siar. Aku bersetuju. Aku mengambil cuti tiga hari. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Bas yang membawa ibu dan ayahku dijangka tiba 11.30 malam. Tetapi malangnya terdapat kesesakan di persimpangan keluar lebuh raya menyebabkan pemandu bas tidak dapat menepati masa. Labih kurang 12.10 malam, ibu dan ayahku tiba. Kami berpelukan. Selepas itu, aku membawa mereka pergi ke kedai makan untuk menjamu selera. Selesai makan kami pulang. Lebih kurang 30 minit menaiki teksi sampailah kami ke kediamanku. Pemandu teksi yang murah senyuman dan banyak bercerita tentang iman hanya mengambil tambang RM7 sahaja. Katanya duit minyak. Alhamdulillah, semoga dimurahkan rezeki.

Sesampainya di rumah, aku membuka kunci pintu. Suasana rumah yang tadinya riuh bagaikan pasar ikan, kini sunyi bagaikan orang bisu di dalamnya. Bibir mereka terkunci. Bagaikan banyak barang beharga di dalamnya. Selesai ke kamarku, tanpa diduga bertebaranlah penghuni- penghuni rumah ke destinasi yang tidak kutahu hala tujunya. Aku tersenyum puas. Ibu bapaku masih tidak mengerti. Tapi mereka tidak mahu bertanya. Tiba-tiba seorang lagi baru pulang. Dia mencari kawannya yang lain tapi tidak ketemu. Dia terpandang sepatu ibuku. Dengan spontan dan laungan yang kuat dia memanggil namaku dan bertanya perempuan manakah yang aku bawa pulang. Aku meletakkan jari di bibir sebagai isyarat kepada ibu dan ayahku. Dia tidak puas hati kerana tiada jawapan. Dengan kasar, dia datang ke bilikku dan menolak daun pintu dengan kuat seraya berkata, "Perempuan mana kau bawa balik?". Ibuku yang terdengar tiba-tiba terperanjat. Dia tunduk malu dan meminta maaf pada ibu dan ayahku. Selepas itu dia pun pergi membawa haluan sendiri.

Keesokan harinya aku membawa ibu dan ayahku bersiar-siar di ibu kota. Malangnya nasib tidak menyebelahi kami, hujan turun tak henti-henti. Terpaksalah kami membatalkan sahaja niat untuk ke tempat lain. Hari berikutnya juga sama, masih hujan. Tapi aku merasa puas. Kerinduanku terubat. Imanku kini terjaga. Terima kasih mak. Terima kasih ayah. Alhamdulillah, Kau telah memelihara imanku.

Sejak kejadian tersebut, kawan-kawan serumahku tidak lagi membawa balik perempuan. Mungkin juga mereka tidak mahu aku membuat tindakan yang lebih drastik. Dalam bulan April, aku mendapat pangglan telefon unutk menghadiri temuduga di sebuah syarikat insurans berhampiran LRT Dato' Keramat. Aku pun pergi. Semasa aku hendak pergi, cuaca agak mendung. Nasib baik tidak hujan. Bila aku melangkah sahaja ke dalam syarikat tersebut, hujan pun turun dengan lebatnya. Alhamdulillah selamat. Aku pun ditemuduga oleh seorang lelaki berbangsa india. Soalan yang sering ditanya setiap kali temuduga yang aku lewati adalah, "Kenapa kamu tidak mahu sambung belajar?". Mungkin inilah soalan yang menyebabkan aku seringkali gagal di dalam temuduga. Pengiraan gred aku kira boleh tahan je tapi mustahil sampai tidak boleh dapat kerja? Aku mengelamun sendiri. Selesai temuduga hujan pun berhenti. Sangkaanku tepat sekali, temuduga itu gagal seperti sebelumnya.

Aku masih lagi meneruskan kerjaya lamaku. Walaupun pendapatan tidak seberapa, tapi mampu menampung kehidupanku di kota besar yang kini aku diami. Rumahku kini menjadi neraka semula. Kemaksiatan bermaharajalela. Aku hanya mampu berdoa. Teguran dan nasihatku tidak langsung diendahkan. Mentanglah aku paling muda dalam rumah itu. Imanku sering diuji dan diduga. Apakah maksud semua ini? Apakah kerana aku ini seorang pemuda kampung jadi aku dianggap berfikiran kolot? Ketahuilah, berfikiran terbuka hanya akan merendahkan martabat kita sebagai seorang Muslim. Itulah agenda Yahudi laknatullah. Hanya mahukan perpecahan.

Sudah banyak aku bersabar dengan mereka. Tapi kesabaranku ada batasnya. Ya Allah, jauhkanlah aku dari mereka. Tiba-tiba aku meneri mapanggilan telefon dari UniMaP. Universiti Malaysia Perlis. Pelik. Hatiku berbisik. Dia memberitahuku bahawa permohonanku untuk melanjutkan pelajaran di sana sedang diproses. Jadi dia meminta aku mem'faks'kan transkrip pengajian aku sebelum ini. Tanpa berlengah, aku segera mem'faks'kan. Mula-mula aku membuat di kedai gambar. Sesudah selesai, aku masih tidak yakin jadi aku mem'faks'kan melalui syarikat tempat aku bekerja. Tapi aku masih lagi was-was dan aku ambil tindakan mengeposkan sahaja salinan transkrip aku itu.

Tak kisahlah ke manapun aku pergi asalkan jauh dari neraka yang paling aku benci. Bila keluar keputusan UPU (Unit Pengurusan Universiti), aku menjangkakan mendapat UniMaP, tapi Allah lebih mengetahui hikmah di sebalik kejadian tersebut. UniMaP telah memadamkan rekod permohonan aku. Aku tidak berputus asa. Aku singgah di sebuah pusat komputer untuk melayari internet. Alangkah terkejutnya aku kerana apa yang aku harapkan kini jadi kenyataan. Aku ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di selatan tanah air. Aku bersyukur. Kini aku kembali bergelar mahaswiswa. Rakan serumahku, kudapat berita ramai yang pulang ke kampung kerana dibuang kerja. Tinggallah antara tiga ke empat orang lagi. Tapi mereka telah berpindah ke rumah lain kerana tidak mampu membayar bil-bil rumah yang agak besar jumlahnya. 
(Tinta Original : Man)


                                                                 

Tiada ulasan :

Catat Ulasan