Tuesday, September 25, 2007
Digosok-gosok
lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah
aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik
hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu
kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan. “Assalamualaikum pakcik,
tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu
sebahagian daripada iman.” Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas
berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johar, orang besar
negara ini. “Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa
Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik”, kata budak kecil
berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk
Dr. Johar membetulkan tali lehernya. “Ah, kalau dia datang biar aku
sogok dengan duit ini! Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru
berlapis-lapis?” Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar
langit dengan wajah pembangunan yang ‘sofistikated’. Ada helikopter
bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini.
Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan
yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian
mereka, tingkah-laku mereka. “Ah, di mana aku sekarang ini!”, gerutu
hati Datuk Dr. Johar.
“Hoi
budak, Aku dimana sekarang?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.
Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara
lunak. “Apakah ini Aladdin, budak arab dengan lampu ajaibnya?” Teka-teki
itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu
membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah
kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki
dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam
berjalur biru. “Assalamualaikum. Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda
pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak
berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan
itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pakcik didenda, 30
kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali.” Kata
pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa
namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk
dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang.
Namun
egonya membumbung tinggi. “Apa? Dia nak marahkan aku? Ni duit lima
ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini
saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?”, tanyanya angkuh. “Pakcik,
kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada
harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan
matlamat”, kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.
“Oh, oh maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai
pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu?”, tanya pegawai
itu pula. “Aku yang gila, atau dia yang gila?”, detak hati Datuk Dr.
Johar.
Dia
berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya
dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher,
kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal
pula, Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. “Ah!
Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang
kolot, dia yang ketinggalan zaman.” “Anak muda, pakaian pakcik ni
pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling
dunia dengan pakaian ni.” “Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang
lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang
kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang
kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja.
Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden
ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai
macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam
sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa.”
Datuk
Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. “Di mana aku sebenarnya ni?”,
dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi
jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur.
Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana.
Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada. “Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini
jalan Mujahadah namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan
Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar
ini.” “Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan
Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah
tu? Apa yang terjadi ni?” Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk
Dr. Johar. “Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak
boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi
kebaikan pakcik dunia dan Akhirat.”
Tiba-tiba
terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas.
Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai
penguatkuasa. “Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa
Neraka amat pedih. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di
hukum di Akhirat”, rayu lelaki
itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan
kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.
Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas. Lega. Dahaga, lapar mula
menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di
mana? Tiba-tiba dia terdengar suara komputer dari ‘sound system’ di
tepi-tepi jalan : “Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota
Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al
Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini
beliau menjamu nasi dan minuman. Sila datang!”
Datuk
Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih
nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah
restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya
berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi
kerana lapar ia masuk juga. “Maaf tuan,
itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.” “Ceh,
Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan!”
Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. “Ada restoran lain
yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak
suka pemisahan-pemisahan macam ni!”
Lelaki
itu tersenyum. “Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita
sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah
berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,
pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.
Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di
sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan”,
terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.
“Ini
bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis,
sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni.” “Masya-Allah
pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi itu. Semuanya telah
termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa
ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu.
Subhanallah.”, keluh tuan
restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya
bergoyang-goyang ketika dia manggeleng-gelengkan kepalanya. “Ah,
persetankan semua itu. Perut aku lapar.”
Datuk
Dr. Johar pun duduk. “Nasi beriani sepinggan!”, ujarnya kepada pelayan.
“Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan. “Ya! Apa
peliknya?” “Baik, tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan
berjamaah. Tuan makan seorang?”, tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia
tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke tempat orang menikmati
makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan
dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. “Yek!
Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian!”
Nasi
beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih
khas. “Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki”, kata pelayan
itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan
itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia
makan seorang diri bagai kera sumbang. “Ya Allah, apa musibah yang
menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh”, ujar
seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam
tak lalu makan saja.
“Anta
tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?”, tanya sahabatnya di
sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. “Ana
nak sedekahkan lima ribu ringgit, malang nasib ana. Ana tunggu lima jam
di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana”, keluhnya.
“Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala
sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita.
“Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat
banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita”,
keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.
“Kalaulah
kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang
banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang
diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila
kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk
kemaskinikan kementerian-kementeriannya.” “Saya nak labur habis-habisan.
Biar jadi saham Akhirat”, kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun
makan dengan perlahan-lahan.
Datuk
Dr. Johar makin pelik. “Tambah nasi sepinggan lagi!”, ujarnya kepada
pelayan restoran. “Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan berhentilah
sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya
pelayan kedai merangkap pegawai perubatan”, kata pelayan itu lagi. “Apa?
Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau
dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!”,
bentaknya, marah campur geram.
“Tuan,
mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan
wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang.
Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum
kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!” “Bodoh,
kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku
ini?”, leternya perlahan-lahan. “Penyakit kencing manis? Tuan
menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu.
Sekarang penyakit itu dah tak ada siapa menghidapnya.”
“Batalkan
saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan
sekarang. Di mana boleh saya dapati?”, tanyanya. “Di sana, tuan. Melalui
butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja
hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.” Datuk Dr.
Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan.
Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit
tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan
pakaian jenama Pierre Cardin ini dia masih kelihatan kolot. Entah di
mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya?
Diberanikan
hatinya. Satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk
besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI
ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN ,
IZRAEL DATANG TIBA-TIBA. Oh, oh seram sejuk tubuhnya. “Apa nama lagu
macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh
pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi”, protes hati
Datuk Dr. Johar.
Dia
beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas
skrin komputer: RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya
dengan teliti: FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN
JANNAH YANG ABADI. Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya
tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? “Tak ada lagu yang hot sikit ke?”,
tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. “Nanti
ya pakcik, saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top hit
anak-anak muda sekarang.” “Ya, ya saya setuju”, balas Datuk Dr. Johar.
Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu.
Dia
ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci
Al-Quran. “Eh, ni suara orang mengaji.” “Nanti dulu pakcik, selepas ni
ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya”, kata pemuda berjubah
cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.
Kemudian getaran suara bergema. “Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta
suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta, stanza hati merindu Ilahi!”
Datuk
Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
“Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan
sajalah.” Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata , “Saya
bayar dengan kad kredit saja!” Dia hulurkan kad kredit warna
keemasannya. “Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh
kami terima, kami halalkan sajalah.” “Tak, pantang saya minta sedekah.
Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak
bawa, nanti disambar pencuri.”
“Darul
Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya
30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan
seksa Neraka.” “Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku
dibuatnya”, pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran
itu. Di luar, semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini
mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah
tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan ‘MAKRUFAT AIR
TRANSPORT’ sibuk dengan urusannya.
Di
seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :
“KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH.” Di papan itu terpampang gambar
seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya
berserban, berjubah dan berpurdah. “Ish, meluatnya!” Di jalan-jalan raya
suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah
menyindir dan mengejek. “Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Mengapa? Mengapa? Mengapa?”, Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit.
Tekanan
dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus. “Datuk! Datuk!
Bangun, Datuk. Ada berita buruk .” Datuk Dr. Johar bangun. Ia tertidur
sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. “Kenapa? Parti kita
kalah? Aku kalah?”, tanya Datuk Dr. Johar. “Tidak, Tuk. Rakyat bangun
memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya.”
“Habis, mereka mahu apa?” “Mereka mahu Islam, Datuk” “Islam?”, keluh
Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya. “ISLAM AKAN TETAP DIJULANG
WALAUPUN IA DITENTANG. ITULAH JANJI ILAHI.” “Pasakkan Sabat Teguhkan
Istiqamah.”
PESANAN
: Sampaikanlah cerita ni kepada yang lain. Moga jadi inspirasi dalam
perjuangan kita! Muslim mesti cemerlang. Ambillah hikmah (kebijaksaaan)
dari mana pun datangnya. Sesungguhnya kepada Allah puncak segala tujuan.
Banyakkan berdoa kepada Allah swt. Berusahalah kita untuk membentuk
Darul Taqwa yang mengikut panduan Islam sepenuhnya. Marilah kita semua
kembalikan semula zaman kegemilangan Islam.
|
Tiada ulasan :
Catat Ulasan